Ahad, 18 Mac 2012

My name is Khan

Dari sudut positif, aku melihat perjalanan cerita ini, pengarah ingin menunjukkan bahawa semua agama bencikan keganasan, baik hindu mahupun kristian. Pengarah ingin menyatukan semua agama agar bencikan keganasan. Apa yang menyedihkan, pengarah memaparkan bahawa Islam sangat2 terbuka dalam toleransi agama. Benar, Islam menghormati kepercayaan agama lain. Tiada paksaan dalam agama Islam kpd org bukan Islam. Akan tetapi, toleransi Islam terhadap agama lain ada batas2 dan syarat2nya. Seorang muslim tidak boleh mengahwini seorang wanita musyrik. Suami bertanggungjawab membimbing isteri dalam urusan agama. Hukum2 Islam, walau dalam keadaan apa sekalipun hendaklah dipatuhi. Seorang muslim perlu berada dalam komuniti muslim agar tunjang masyarakat Islam menjadi kuat. Berada di luar masyarakat Islam menjadikan seseorang muslim rapuh pegangan agamanya dan senang untuk dipengaruhi oleh anasir2 luar terutamanya suntikan pemikiran sekularism, liberalism, pluralism dan sebagainya. Jika sudah terkena suntikan ini, payah untuk menyuntik kembali pemikiran Islam yang tulen dan sempurna sehinggakan seseorang individu muslim dapat menilai dan melihat sebarang perkara yang bertentangan dengan fikrah Islam dengan jelas dan berusaha untuk menentangnya. Sama-sama kita muhasabah kembali adakah kita benar-benar menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam kehidupan seharian. Filem di atas hanyalah satu contoh aliran pemikiran dalam dunia hiburan. Kemungkinan dalam kita tidak sedari, pemikiran dan kata-kata kita telah dipengaruhi oleh ideologi-ideologi ciptaan manusia. Nauzubillah min zalik. Mudah-mudahan kita terlindung daripada fahaman yang bersalahan dengan Islam.

Wallahua'lam.

Selasa, 13 Mac 2012

Be positive ^_^

Pengajaran yang aku terima dalam kehidupan ini adalah jangan sesekali berputus asa. Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah wajar digunakan untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Begitulah hikmah akal yang Allah kurniakan. Untuk mencari penyelesaian kpd permasalahan dalam seluruh aspek kehidupan agar ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Di sini pula adalah peranan ilmu. Bagaimana kita menghadapi dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Di suatu saat, kita amat buntu untuk mencari jalan penyelesaian. Ketahuilah bahawa Allah ingin sekali mendengar hambanya merintih, menangis dan menyerahkan segala urusan hanya kepadaNya. Kadang-kadang manusia cepat lupa dengan kesenangan yang dikecapi. Seolah-olah kesusahan tak akan menjelma lagi dalam kehidupan. Itulah kenikmatan yang Allah kurniakan. Jangan kita lupa, Allah memberi kita ujian kerana Dia masih sayang dan ingatkan kita. Aku kerap membisikkan perkara ini kepada diriku di saat aku kesedihan dan dilanda permasalahan. Kita juga mesti akui, kita perlukan orang lain dalam kehidupan kita. Kita tidak akan mampu menanggung segala bebanan permasalahan seorang diri. Pakar-pakar motivasi ada mengatakan, untuk mencapai kejayaan manusia perlukan sokongan samada motivasi, kata-kata semangat mahupun kewangan. Sukar untuk berjaya tanpa bantuan orang-orang sekeliling. Mudah-mudahan di sekeliling kita wujud orang-orang yang bersedia untuk memberi sokongan kepada kita. Bagaimana? Kita terlebih dahulu harus memberi kepercayaan kepada diri kita sendiri dan org lain bahawa kita tidak akan mengalah. Dengan cara ini, kita bukan sahaja membina perhubungan yang baik dengan Allah malah dengan orang-orang sekeliling kita. Tidak akan mengalah di sini bukan bermakna kita bersikap angkuh dan sombong. Akan tetapi, ia bermaksud kita tidak akan menyerah sahaja dengan apa yang berlaku tanpa berusaha mencari jalan penyelesaian. Setelah itu, istilah lain pula wujud iaitu TABAH. Orang yang berjaya mengharungi dugaan dan cabaran adalah dikenali sebagai seorang yang tabah. Permasalahan mendidik seseorang bersabar dan berfikir. Dari situlah pengalaman hidup diperoleh.

Wallahu Ta'ala a'lam.

Bagaimana mengurus kegagalan ^_^

Bagaimana ingin menguruskan kegagalan dan kejayaan dalam kehidupan? Sesungguhnya kita perlu menerima kegagalan adalah sebahagian daripada kehidupan. Cumanya, bagaimana untuk menerimanya bergantung kepada bagaimana pengurusan kita terhadap kegagalan. Walaubagaimanapun, kegagalan akan menjadi pengalaman paling berharga dalam kehidupan kita. Sampai bila-bila pun ia tetap akan menjadi pengajaran yang terhebat dalam hidup. Sesungguhnya ia adalah tarbiyah secara langsung dari Allah Ta'ala. Kegagalan membuatkan kita kembali kepadaNya. Kegagalan membuatkan kita muhasabah diri kita kembali. Kegagalan juga membuat kita lebih mengenali siapa diri kita yang sebenar. Sesungguhnya sebagai manusia kita mudah lupa. Perlu sentiasa diingatkan. Dan kegagalan merupakan suatu pengajaran yang akan mengingatkan kita kepada kuasa yang lebih hebat. Kita manusia tak mungkin dapat menentukan sepenuhnya kehidupan yang kita lalui hari ini dan masa akan datang. Hanya Allah yang mengetahui apakah yang terbaik untuk kita. Tinggal lagi kita hanya perlu memilih jalan-jalan yang telah tersedia samada membawa kebaikan atau keburukan. Allah anugerahkan kita akal untuk kita memikirkan kembali, untuk menjahit kembali kesilapan-kesilapan yang lalu.

Wallahua'lam.

Selasa, 6 Disember 2011

Hedonisme


Artis menjadi sebutan ramai melebihi pemimpin sesebuah Negara. Apatah lagi nama-nama tokoh yang wajar dijadikan contoh. Salman khan, Datuk Shah Rukh Khan, 2PM, Wonder Girls, Lady Gaga, Avril Lavigne, Ungu, Hujan, Datuk Siti Nurhaliza dan ramai lagi. Sekiranya menyebut nama-nama ini, semua peringkat masyarakat akan mengenali mereka sama ada di peringkat nasional atau pun di peringkat antarabangsa. Akan tetapi, aku melihat masyarakat lebih menyanjungi artis berbanding tokoh-tokoh akademik atau pemimpin terkemuka.

Faktor

Aku melihat permasalahan ini dari sudut promosi media yang rancak mempromosikan pelbagai genre muzik dalam industri  seni muzik yang pelbagai. Contohnya, R&B, Pop rock, K-Pop, Jazz, Ballet dan sebagainya. Media elektronik dan media cetak rancak mengetengahkan artis-artis baru sama ada dalam mahu pun luar Negara. Rancangan-rancangan realiti yang berbentuk hiburan semakin bertambah. Mentor, Akademi Fantasia, Gangstarz dan sebagainya. Carta-carta lagu baru dimuat turunkan dalam radio dan televisyen untuk diundi oleh orang ramai. Lagu yang paling banyak undiannya dijadikan juara carta. Hal ini begitu menular dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia. Seolah-olah ada pihak yang menjadi tulang belakang terhadap promosi industri seni hiburan secara besar-besaran. Fakulti-fakulti seni tarian, nyanyian dan lakonan semakin bertambah.  Semakin hari masyarakat Melayu Islam semakin menjauhi Islam. Apa yang menjadi garis panduan Islam dilanggar. Kononnya mengikut arus perdana, maka timbullah hujah-hujah yang ingin membenarkan apa yang dilakukan. Barat boleh buat. Kenapa masyarakat kita tak boleh buat. Sehingga menghalalkan yang haram di sisi syara’. Begitu juga kebanjiran artis-artis luar negara yang begitu ghairah memasuki pasaran Malaysia. Budaya-budaya mereka yang bertentangan dengan prinsip adat Melayu menular ke dalam masyarakat kita. Gadis-gadis Melayu yang bertudung bebas bergambar dan mendekati artis-artis yang diminati tanpa segan silu. Ada juga dalam kalangan pelajar ipt. Bukankah tugas para intelektual adalah untuk memikirkan situasi-situasi semasa yang berlaku, menganalisis dan mencari penyelesaian terhadap permasalahan-permasalahan yang melanda umat Islam. Sekiranya ada golongan ini, maka ummat Islam akan menjadi tunjang kekuatan ummat Islam. Kekuatan dan kelebihan setiap orang dimanfaatkan untuk kepentingan Islam.

Kesimpulan
Walau di mana umat Islam berada, dia bertanggungjawab menyebarkan dan mengamalkan ajaran agama Islam. Manfaatkan setiap lapangan walau lapangan mana anda berada. Jangan kita lupa musuh-musuh Islam senantiasa menunggu akan kejatuhan umat Islam. Mereka telah membuat serangan demi serangan tanpa umat Islam sedari; melalui entertainment, food dan fashion. Ternyata umat Islam terpengaruh dengan serangan-serangan mereka. Semoga dalam perlindungan Allah selalu. wallahua'lam..

Selasa, 11 Oktober 2011

saat pengakhiran hidup...

Bismillah walhamdulillah...


Kagum aku melihat orang yang sakit dihidangkan dengan ayat2 suci Al-Qur'an. Pada waktu kesakitan tiada apa yang lebih membahagiakan selain mengingati Allah. Tambahan pula dengan bantuan orang2 sekeliling untuk mengingati Allah kerana diri sendiri sudah tidak berdaya lagi.. Pada waktu itu apa yang didambakan hanyalah ingatan kepada Allah. Mudah-mudahan kita pergi meninggalkan dunia ini dalam keadaan beriman..


Pengalaman ini, aku rasai sendiri ketika berada di Pondok Pasir Tumboh. Sempat aku melawat arwah Tuan Guru Hj. Hashim (al-fatihah). Ayat2 suci al-Qur'an selalu diperdengarkan ke telinganya melalui 'recorder'. Terdetik dalam hatiku, adakah aku juga akan diperdengarkan ayat2 al-Qur'an di saat aku tidak lagi berdaya untuk membaca ayat2 Allah...Adakah orang2 sekelilingku akan mengajarku untuk mengucapkan kalimah 'LailahaillaAllah' di saat aku nazak...aku pernah mendengar, saat kematian kita bergantung kepada bagaimana amalan kita semasa hayat kita...mudah-mudahan kita semua tergolong dalam kalangan orang2 soleh dan orang2 yang beriman..


wallahua'lam.

Selasa, 27 September 2011

talaqi...

Bismillah walhamdulillah..

Usai bertalaqi dengan ust Muhadir. Alhamdulillah, dengan ajakan seorang adik, terbuka hatiku untuk mendengar kata2 hikmat seorang guru pada malam ini. Terima kasih Iezzah ^_^ jazakillahi khairal jaza'. Terasa suasana sewaktu berada di pondok. Sungguh aku merindui saat2 itu. Seakan aku mendapat nafas baru untuk terus berjuang di bumi gombak. Talaqi, bagiku lebih dekat dengan guru dan aku lebih yakin dengan sumbernya yang merujuk kitab2 yang dikarang alim ulama' dahulu kala. Bukan bermaksud aku tidak yakin dengan ilmu agama yang aku pelajari dalam silibus universiti, bagiku ianya terlalu umum, sebagaimana pak cik ku pernah berkata, ilmu di universiti telah di 'simplify' kan/yang telah diringkaskan. Hasilnya, pandanganku sebagai penuntut, tidak mengetahui daripada mana sumbernya, hanya menyalin nota2 yang telah diringkaskan. Walau apa pun ilmu yang dipelajari aku sentiasa berdoa agar diberi kekuatan untuk mengamalkan ilmu2 yang telah dipelajari. Sebagaimana pepatah arab ada menyebut 'ilmu tanpa amal seperti pokok yang tidak berbuah'. Maka jadilah ilmu sekadar ilmu semata-mata tanpa pengamalan yang konsisten. Duhai diri, moga Allah kuatkan azammu untuk terus mekar sebagai hamba yang sentiasa berada di jalan yang diredhaiNya.

Ayuh berguru!
Wallahua'lam ^^

Rabu, 14 September 2011

Hakikat Doa..

'Sesungguhnya Allah lebih dekat dari urat lehermu sendiri', 'berdoalah kepadaku, nescaya akan Aku kabulkan'..Doa itu senjata bagi orang2 mu'min.

Begitulah peranan doa dalam kehidupan manusia seharian. Sesungguhnya solat itu merupakan doa. setiap bacaan dalam solat terdiri daripada zikir dan doa. Lalu, bagaimana manusia mengatakan bahawa dia jauh dari Allah? Sesungguhnya Allah itu dekat. Kenapa manusia akan pulang kepada Tuhannya disaat kesempitan, kesusahan dan kepayahan? kerana manusia itu sifatnya alpa dan lupa. Sentiasa perlukan peringatan.. Hai manusia, engkau adalah hamba Allah. Engkau adalah sebaik-baik ummat. Ingatkah engkau bahawa engkau pernah bersaksi bahawa Allah adalah Tuhanmu?kembalilah kepada Tuhan wahai manusia yang pelupa.

Lalu terdapat solat2 sunat dalam Islam contohnya, solat sunat rawatib (ada muakkad dan ghayr muakkad), solat sunat dhuha, solat sunat hajat, solat sunat tasbih, solat sunat tahajjud dan sebagainya. Kenapa wujud solat2 sunat ini? Tiada lain melainkan untuk mengingati Allah. Agar manusia tidak lalai dari menyebut nama2 Allah yang maha agung. Mengapa tidak kita manfaatkan solat2 sunat ini sebagai peluang untuk kita mendekati Allah Ta'ala?

Benar sekali, untuk membuatnya tak semudah ucapan dibibir, tak semudah tulisan yang ditaip. Akan tetapi, sementara masih ada kemampuan, kekuatan fizikal dan mental, dan daya upaya maka beramallah sebagai bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi.

Moga menjadi hamba Allah dan bukan menjadi hamba ramadhan.
~muhasabah diri~